Wednesday 11 September 2013

Kelebihan Bersedekah


Bersedekah adalah satu amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Tidak akan berkurang harta orang bersedekah". Bersedekah ini boleh dianalogikan seperti kita mengambil air dari perigi atau telaga dengan menggunakan timba. setiap kali kita mengambil air daripada perigi tersebut maka akan digantikan dengan air lain pula tanpa berkurang sedikit pun. Kita harus faham bahawa rezki yang Allah s.w.t  berikan kepada kita bukanlah untuk kita seorang sahaja. Sebenarnya kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga dan mengagihkan rezki tersebut untuk insan lain juga. Contohnya dalam slip gaji kita ada rezki orang lain. Apabila dapat duit maka kereta kita rosak maka ia adalah rezki orang bengkel, tengah bulan pula anak demam , maka ia rezki doktor, petang jumaat pergi pasar malam, maka ia rezki penjaja, nak pergi kerja isi minyak, maka ia rezki pengusaha pam minyak.  Sebab itu ulama' berpendapat rezki itu ialah apa yang kita pakai, guna, makan sahaja, adapun duit yang berjuta-juta yang kita sayang nak keluarkan , itu belum tentu duit kita, bila kita mati ia milik orang lain. Harta kita sebenarnya ialah duit yang kita infaq atau sedekah kepada jalan Allah s.w.t sahaja seperti sedekah kepada masjid, anak yatim, fakir miskin dan sebagainya. Ini kerana duit yang telah disedekahkan tersebut akan ditukarkan dalam bentuk pahala yang akan memberikan manfaat kepada kita di alam kubur dan seterusnya di akhirat nanti. Sebab itulah kita akan berkira untuk bersedekah RM10 kepada anak yatim berbanding dengan kita sanggup membelanjakan RM10 untuk meracun diri dengan membeli rokok, ini kerana syaitan akan cuba memujuk kita supaya tidak bersedekah kerana takut jadi papa. 



Percayalah setiap pagi Allah s.w.t utuskan dua malaikat yang berdoa:" Ya Allah kamu berikanlah ganti harta orang bersedekah dan kamu musnahkanlah harta orang yang bakhil." Orang berniaga yang hendak perniagaannya menjadi maju hendaklah ia bersedekah. Di sini saya akan berikan beberapa kebaikan bagi orang yang bersedekah:
 Kebaikan di dunia:
*  Membersihkan harta.
*  Menyucikan diri kita daripada dosa-dosa kecil. Dosa besar kena taubat.
*  Menjauhi diri kita dari bala' dan penyakit.
*  Mendatangkan kegembiraan kepada fakir miskin serta mengikis perasaan cemburu mereka kepada      orang   kaya.
*  Allah akan memberkahi harta kita dan menambahkan rezki yang kita tidak sangka-sangka.

Kebaikan di Akhirat:
*  Sedekah akan menjadi payung atau pelindung kepada tuannya di akhirat.(padang Mahsyar)
*  Sedekah akan meringankan  kiraan hisab nanti.
*  Sedekah akan menambahkan berat timbangan ( Mizan ) kebaikan kita nanti.
*  Sedekah boleh mengangkat darjat tuan di syurga nanti.
*  Memudahkan kita untuk menyeberangi Titian Sirot.

Tuesday 14 May 2013

Bersatu Padu Asas Kekuatan Islam










Daripada Abu Musa RA katanya, sabda Rasulullah SAW : “Bandingan seseorang mukmin dengan mukmin yang lain seumpama sebuah bangunan yang bahagiannya saling menguatkan antara satu sama lain”. Dan baginda menjalinkan antara jari-jarinya. 
Huraian Hadith: 
  1. Orang-orang Islam mestilah hidup tolong-menolong dan bersatu padu.
  2. Tolong menolong dan bersatu padu adalah asas kekuatan dalam masyarakat Islam.
  3. Hadis ini membuat perumpamaan untuk mendorong orang yang beriman supaya membudayakan sikap tolong menolong, bantu membantu sesama mereka. Ini kerana manusia tidak boleh hidup sendirian malah saling memerlukan antara satu sama lain, seperti sebuah bangunan yang bahagian-bahagiannya saling menguat dan melengkapkan antara satu sama lain. Walaupun kedudukan dan peranan mereka berbeza tetapi perbezaan itu adalah berdasarkan kepada persediaan dalaman masing-masing atau keupayaan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah SWT.
  4. Islam adalah agama kemasyarakatan dengan ertikata  menggalakkan umatnya hidup bermasyarakat, setiap individu merupakan sekeping bata dalam bangunan kemasyarakatan, dia wajib memelihara hak orang lain sepertimana haknya wajib dipelihara oleh orang lain.

Sumber : JAKIM

Saturday 11 May 2013

Cabaran umat Islam masa kini


Oleh Dr Fauzi Deraman

ISLAM agama samawi terakhir diturunkan Allah. Sebagai agama terakhir sudah tentu ia paling lengkap dan sempurna. Islam berada di kemuncak kecemerlangan pada zaman Rasulullah (s.a.w.). Ia berkembang pesat sehingga pernah menguasai satu pertiga dunia. Wilayahnya memanjang dari selatan China di Timur dan ke pantai Lautan Atlantik di Barat, dari selatan Paris membawa ke Irian Jaya di Indonesia.

Umat Islam dikurniakan Allah mendiami kawasan paling subur dan paling kaya di dunia. Mereka juga berada di tengah laluan antarabangsa yang menjadikan rantau Islam ini idaman semua pihak.






Jatuhnya Khalifah Uthmaniah Turki yang menjadi induk umat Islam dan mansuhnya sistem khalifah, hasil perancangan jahat yang diketuai Mustafa Kamal Ataturk, berketurunan Yahudi berasal dari Salonika dan tewasnya kerajaan ini dan sekutunya dalam Perang Dunia Pertama menyebabkan wilayah umat Islam difaraidkan oleh penjajah sebagai rampasan perang. British, Perancis, Itali, Sepanyol, Belanda dan lain-lain mendapat habuan masing-masing. Islam dan umatnya hasil daripada perancangan teratur musuhnya serta disokong dengan kelemahan dalaman yang sedia ada telah diasak dari dalam dan luar oleh penjajah dan tali barut mereka menyebabkan umat Islam berada di tahap paling lemah dalam sejarahnya.

Namun begitu, umat Islam tidak perlu pasif kerana Allah menjanjikan Islam tetap unggul. Rasulullah menegaskan, akan tetap ada sekumpulan daripada umat Islam yang terus mempertahankan kebenaran daripada gugatan musuh.

Belajar daripada kesilapan lampau dan dengan kepemimpinan ulama yang mukhlisin, umat Islam bangun semula dalam asakan dan serangan yang bertali arus itu. Umat Islam menapak semula untuk bangun dan mengambil semula tempatnya di persada dunia.

Namun ia tidak semudah yang diungkapkan kerana terlalu banyak cabaran dan halangan yang terpaksa dihadapi.

Penulis dan pemikir Islam sudah banyak menulis mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam. Abdul Kadir Awdah, seorang pakar undang-undang Mesir yang gugur syahid di tali gantung pada zaman Jamal Abdel Nasir, pernah mengungkapkan antara cabaran ummah ialah kejahilan ummah itu sendiri dan kelesuan ulama.

Dr Muhammad Sayyid al-Wakil, profesor sejarah Islam di Universiti Islam Madinah al-Munawwarah pula menyentuh perancangan jahat musuh dan kejahilan umat Islam sendiri mengenai Islam.

Kefahaman dan penghayatan umat Islam berbeza-beza mengikut taraf hidup dan latar belakang mereka. Secara umumnya terbahagi kepada dua. Pertama, golongan kurang terpelajar atau tidak terpelajar. Golongan ini kadang-kadang tidak memahami langsung akan Islam kecuali maklumat asas mengenai aspek ibadat dalam agama. Keislaman mereka sekadar pak turut semata-mata. Mereka mewakili bahagian terbesar daripada keseluruhan umat Islam. Mereka ini mudah terpengaruh dengan golongan yang pada pandangan mereka adalah terpelajar.

Kedua, golongan yang mendapat pendidikan Barat atau yang terpengaruh dengannya. Rata-rata golongan ini dianggap terpelajar di kalangan umat Islam. Mereka mendapat pendidikan daripada sistem pendidikan yang tidak berteraskan wahyu tetapi mereka mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat.

Kelemahan golongan ini berpunca daripada kejahilan mereka mengenai Islam sebagai ad-Din. Berpunca daripada golongan inilah kedengaran suara sumbang seperti Islam tiada hubungan dengan hukum-hakam, syariat Islam sudah tidak sesuai dengan kehidupan zaman moden, sesetengah ajaran Islam payah dan sukar hendak dilaksanakan dan sebagainya.

Bagi golongan yang faham Islam pula, mereka memahami Islam sebagai satu sistem hidup yang sempurna dan menyeluruh yang diturunkan Allah. Mereka inilah yang berusaha melaksanakannya dalam kehidupan kerana meyakini Islam tetap sesuai pada setiap zaman dan tempat kerana ia milik Allah Yang Maha Mengetahui.

Umat Islam juga sentiasa menghadapi cabaran daripada musuh. Musuh umat Islam adalah daripada kalangan yang tidak kelihatan seperti nafsu dan syaitan dan ada juga daripada kalangan manusia.

Daripada kalangan manusia, Allah menegaskan dalam firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang dengan kamu sehingga kamu mengikuti millah mereka. (Surah al-Baqarah: 126).

Bertitik tolak daripada sikap tidak senang dengan umat Islam inilah, mereka melakukan pelbagai usaha untuk merosak dan menghancurkan umat Islam. Sejarah menyaksikan pertentangan kedua-dua pihak ini mencetuskan peristiwa, tragedi dan kejadian pahit manis di kalangan umat Islam.

Sasaran utama mereka adalah akidah umat Islam, al-Quran, hadis, Rasulullah dan hukum Islam. Oleh itu pelbagai pendekatan digunakan, bermula daripada pertentangan bersenjata yang tergambar melalui beberapa siri Perang Salib yang silih berganti, namun mereka tidak berjaya menghapuskan umat Islam.

Kaedah baru dicari selepas cara pertama kurang berhasil. Bermulalah era serangan pemikiran. Ternyata cara ini sedikit sebanyak berjaya memerangkap umat Islam. Mereka berselindung di sebalik pelbagai wadah, institusi penyelidikan dan badan yang mereka bentuk untuk menjadi boneka mereka.

Musuh Islam juga mengeksport pelbagai pemikiran dan ideologi kepada umat Islam. Serangan ini berterusan walaupun negara umat Islam dapat membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan fizikal tetapi masih dijajah di segi pemikiran.

Yahudi dan Nasrani menggunakan pelbagai saluran bagi mencapai hasrat mereka termasuk media, pakej bantuan dan kebajikan yang berselindung di sebalik pelbagai tabung dan dana, misi kemanusiaan dan seumpamanya. Tujuan utama mereka untuk menghancurkan Islam ke akar umbinya.

Selain itu, umat Islam turut menghadapi bebarapa cabaran dalaman. Antaranya masalah kemiskinan, krisis nilai dan jati diri, pertentangan sesama sendiri dan kegagalan institusi ulama memainkan peranan sebagai pewaris nabi yang menjadi pemandu ummah.

Faktor ini cukup untuk menjadikan umat Islam sebagai golongan lemah dan terkial-kial untuk meneruskan survival diri dan ummah. Kalau tidak kerana jaminan Allah yang akan tetap membela dan melindungi mereka yang beriman, sudah tentu perkara yang lebih teruk akan dihadapi umat Islam.

Setelah mengenali secara umum beberapa cabaran umat Islam, kita dapat mengenal pasti faktor yang menghalang umat daripada bangkit semula mengambil tempatnya sebagai guru dan pemimpin dunia. Adalah menjadi tanggungjawab kita yang prihatin dan peka dengan masa depan umat untuk melakukan muhasabah dan belajar daripada sejarah lampau untuk membolehkan kita menyusun langkah teratur dalam menuju masa depan yang gemilang.

Kita perlu menoleh ke belakang untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripada generasi lalu dan melihat ke hadapan dengan perancangan teratur bagi membolehkan umat Islam terus melangkah dengan yakin dan bertawakal kepada Allah. Imam Malik r.a. berkata: “Tidak akan baik golongan yang terakhir darpada umat ini kecuali dengan apa yang sudah baik umatnya yang terdahulu.”

Sunday 14 April 2013

Dimulakan dengan BISMILLAH...



السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته
Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam...



Antara kehebatan dan cinta dalam Bismillah ialah:- 

1. Yang pertama ditulis Qalam adalah BISMILLAH. Maka apabila kamu menulis sesuatu,maka tulislah BISMILLAH pada awalnya kerana BISMILLAH tertulis pada setiap wahyu yang Allah turunkan kepada Jibrail.
2. 'BISMILLAH untukmu dan rumahmu, suruhlah mereka apabila memohon sesuatu dengan BISMILLAH. Aku tidak akan meninggalkannya sekejap mata pun sejak BISMILLAH diturunkan kepada Adam. (Hadith Qudsi)
3. Tatkala BISMILLAH diturunkan ke dunia, maka semua awan berlari ke arah barat, angin terdiam, air laut bergelora, mendengarkan seluruh binatang dan terlempar semua syaitan.
4. Demi Allah dan keagunganNya, tidaklah BISMILLAH itu dibacakan pada orang sakit melainkan menjadi ubat untuknya dan tidaklah BISMILLAH dibacakan di atas sesuatu melainkan Allah beri berkat ke atasnya.
5. Barangsiapa yang ingin hidup bahagia dan mati syahid,maka bacalah BISMILLAH setiap kali memulakan sesuatu perkara yang baik.
6. Jumlah huruf dalam BSMILLAH ada 19 huruf dan malaikat penjaga neraka ada 19 .Ibnu Mas ' ud berkata: ' Sesiapa yang ingin Allah selamatkan dari 19 malaikat neraka maka bacalah BISMILLAH 19 kali setiap hari. '
7. Tiap huruf BISMILLAH ada JUNNAH (penjaga/khadam) hingga tiap huruf berkata, ' Siapa yang membaca BISMILLAH maka kamilah kekuatannya dankamilah kehebatannya.

8. Barangsiapa yang memuliakan tulisan BISMILLAH nescaya Allah akan mengangkat namanya di syurga yang sangat tinggi dan diampunkan segala dosa kedua orang tuanya.

9. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH maka akan bertasbihlah segala gunung kepadanya.
10. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, maka akan terpelihara dari gangguan syaitan, kecurian dan kebakaran, maut mendadak dan bala.
11. Barangsiapa yang membaca BISMILLAH sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada si pembaca.

Maha suci Allah... DIA beri kita seribu satu nikmat hatta dalam sebutan Bismillah sahaja. Semoga kita semua dapat amalkan bersama... 

Tuesday 12 March 2013

Untungnyaa menjadi seorang WANITA




Ya ALLAH bertapa untungnya jika anda dilahirkan sebagai seorang wanita. Begitu HEBAT anda berbanding dengan seorang LELAKI. so, yg LELAKI tu jgn nak suka2 pulak pergi tukar jantina yeaa.. Oupsss~ Ingat! Nabi tak mengaku umat if anda berbuat sedemikian.. 

Banyak pihak mengatakan bahawa sukar menjadi wanita Islam (muslim), hanya dengan melihat secara kasar perkara-perkara di bawah ini :

  1. Wanita auratnya lebih susah dijaga dibanding lelaki.
  2. Wanita perlu minta izin dari suami apabila mahu keluar rumah tetapi tidak sebaliknya.
  3. Wanita saksinya (jumlah apabila menjadi saksi) kurang berbanding lelaki.
  4. Wanita menerima harta warisan lebih sedikit dari pada lelaki.
  5. Wanita perlu menghadapi kesusahan mengandung dan melahirkan anak
  6. Wanita wajib taat kepada suaminya, sementara suami tak perlu taat pada istrinya dalam (hal-hal tertentu).
  7. Talak terletak di tangan suami dan bukan isteri.
  8. Wanita kurang "selesa" dalam beribadat kerana adanya masalah haid dan nifas.
  9. dan lain-lain isu yang sengaja dipersoalkan sama ada mereka yang bukan Islam ataupun mereka yang terperdaya dengan tohmahan "musuh" Islam.

Tetapi, pernahkah kita menyelami hakikat yang sebenarnya iaitu kelebihan menjadi seorang wanita yang beragama Islam?. Baca penerangan di bawah ini:

1. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang selamat dan terbaik. Sudah pasti itulah intan permata bandingannya dengan seorang wanita.

2. Wanita perlu taat kepada suami, tetapi tahukah lelaki wajib taat kepada ibunya tiga kali lebih utama daripada kepada bapanya ?

3. Wanita menerima harta warisan lebih sedikit daripada lelaki, tetapi tahukah bahawa harta itu akan menjadi miliknya dan tidak perlu diserahkan kepada suami? Sementara suami apabila menerima harta warisan ia wajib juga menggunakan hartanya untuk isteri dan anak-anaknya ?

4. Wanita perlu bersusah payah mengandung dan melahirkan anak, tetapi tahukah bahwa setiap saat dia didoakan oleh segala mahluk, malaikat dan seluruh mahluk Allah dimuka bumi ini, dan tahukah jika ia meninggal karena melahirkan adalah syahid dan syurga menantinya.

5. Di akhirat kelak, seorang lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap empat wanita, iaitu : Isteri, Ibu, Anak perempuan dan saudara perempuan. Ertinya , bagi seorang wanita tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh empat orang lelaki, iaitu : suaminya, ayahnya, anak lelakinya dan saudara lelakinya.

6. Seorang Wanita boleh memasuki pintu syurga melalui pintu mana saja yang disukainya cukup dengan empat syarat saja, iaitu : solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, taat kepada suaminya dan menjaga kehormatannya.

7. Seorang lelaki wajib berjihad di jalan Allah, sementara bagi wanita jika taat kepada suami serta menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah SWT, maka ia akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad di jalan Allah SWT tanpa perlu mengangkat senjata.

Masya' Allah…demikian sayangnya Allah SWT kepada wanita. Yakinlah bahwa di dalam Islam, nasib wanita sebenarnya lebih terbela @ terjaga jika dibandingkan dengan "yang lain". Usahlah percaya dan mengikuti "dakwah" pihak-pihak tertentu yang ingin memburuk-burukan Islam. Marilah kenali Islam dengan niat yang ikhlas iaitu ingin mencari kebenaran dalam beragama.

CIRI PAKAIAN DALAM ISLAM




" Katakanlah ( wahai Muhammad ) kepada wanita-wanita mukminat agar mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang telah zahir pada dirinya dan hendaklah mereka menutup dengan tudung mereka ke atas dada mereka dan janganlah mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali kepada suami-suami mereka, bapa-bapa mereka, bapa suami mereka, anak-anak mereka, anak-anak suami mereka, anak-anak lelaki bagi saudara lelaki mereka, anak-anak lelaki bagi saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba sahaya yang mereka miliki, lelaki yang mengikut mereka yang sudah tidak mempunyai keinginan ( terhadap perempuan ) atau kanak-kanak kecil yang belum mengetahui mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka supaya diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." ( An-Nur: 31 )

1. Menutup Aurat Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
" ….harta ( mereka yang ada dalam kekuasaanmu ) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan . Berilah mereka belanja dan pakaian ( dari hasil harta itu ) dan ucapkanlah kepada mereka kata-kata yang baik." ( An-Nisaa': 5 )
Di dalam ayat ini, Allah S.W.T. telah menyuruh kaum wanita supaya menutup aurat mereka. Di dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Peha itu adalah aurat." ( Riwayat al-Bukhari )
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Seorang lelaki tidak boleh melihat kepada aurat seorang perempuan lain." ( Riwayat Muslim )


2. Tidak Jarang Dan Tidak Ketat Pakaian yang jarang akan menampakkan aurat seseorang. Demikianlah juga pakaian yang ketat akan menampakkan bentuk anggota badan yang wajib ditutup. Akibatnya matlamat untuk menutup aurat tidak akan tercapai. Larangan berpakaian dengan pakaian yang sedemikian dapat kita fahami menerusi sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
" Dua golongan ahli neraka yang aku belum melihatnya iaitu satu golongan yang memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia dan satu golongan wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liuk tubuh badannya, mereka ini seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat baunya sekalipun bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sekian-sekian." ( Riwayat Muslim )


3. Bukan Pakaian Yang Diharamkan Memakainya Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu memakai sutera atau sutera yang bercorak." ( Riyawat Muslim )
Hadis ini menerangkan larangan kepada kaum lelaki. Dalam sabda baginda lagi yang diriwayatkan oleh salah seorang sahabat yang bermaksud:
"(Rasullullah) melarang kami dari memakai cincin emas." ( Riwayat Muslim )


4. Bukan Pakaian Yang Menjadi Syiar Agama Lain Jika seorang lelaki dilarang memakai pakaian wanita dan begitu juga sebaliknya maka apatah lagi seorang muslim memakai sesuatu yang telah menjadi lambang atau syiar.

Saturday 9 March 2013

Mutiara Kata




  • Manusia itu jika kita terlalu mencintainya akan merana, buta panduan.kerana manusia hidupnya takkan kekal.Allah itu jika terlalu mencintaiNya akan bahagia selamanyakerana dia maha abadi
  • Jika kamu ingin disenangi manusia, maka senangilah mereka
  • Usahlah mengabaikan seseorang, kerana itu membunuh kasihnya kepadamu. Usahlah melupakannya, kerana kasihnya akan tertutup buatmu
  • Aku cepat lupa tentang kesalahanku kerana tidak ada seorangpun yang mengingatkanku
  • Kelembutan wanita adalah adalah lebih hebat dari perkasaan seorang lelaki
  • Kesempurnaan dan keindahan akan dicipta jika ada cinta, terlindung segala cela dan kecacatan. Setelah hilangnya cinta, perkara sebaliknya boleh berlaku
  • Mencapai kejayaan adalah penting, tetapi kesungguhan dalam mencapai kejayaan itu adalah lebih penting
  • Ramai orang memperolehi nasihat, tetapi ramai yang tidak memanfaatkannya
  • Antara saat indah dalam kehidupan ialah setelah anda mencapai kejayaan yang sebelumnya manusia pernah berkata kepada anda “kamu tidak mampu melakukannya”
  • Senyumanmu tidak memberi sebarang bebanan kepadamu tetapi memberi makna yang indah kepada seseorang
  • Musibah yang menimpa akan mendekatkan dirimu dengan Allah  menyebabkan tanganmu memohon padaNya, air matamu insaf berlinangan. Mengajarmu tentang doa dan harapan, rayuan dan rintihan. Menghilangkan darimu kesombongan dan keangkuhan. Di saat itu dirimulah yang paling hebat
  • Janganlah bersedih hati dengan kata maki dan tuduhan nista yang manusia lemparkan kepadamu, sesungguhnya ianya tidak menghinakan dirimu, tetapi sebaliknya ia telah menghina mereka sendiri
  • Aku tahu bahawa Allah  telah menetapkan rezeki untukku dan tiada mungkin ada orang lain mampu merampasnya. Dengan itu hatiku menjadi tenang
  • Manusia tidak akan terlepas dari pencinta yang memuji dan musuh yang membenci
  • Dua perkara yang ada dalam kehidupanmu. Angan-angan dan kematian. Angan-angan akan memanjangkannya dan kematian itu akan memendekkannya
  • Umar abdul aziz: sesungguhnya malam dan siang telah bekerja untuk kamu. Maka hendaklah kamu bekerja pada kedua-duanya
  • Iblis: aku merasa hairan dengan manusia, mereka mencintai Allah  tetapi mereka melakukan maksiat kepadaNya. Mereka membenciku, tetapi mereka menurutiku
  • Antara perkara yang hairankan ialah seorang ayah mengajar anak kecilnya bercakap dan berjalan, kemudian melarangnya
  • Jangan kamu minta seorang wanita mencintaimu,. Tetapi buatlah agar mereka mencintaimu
  • Wanita patut mengikut lelaki kerana mereka diciptakan setelah lelaki
  • Semakin hebat seorang wanita mencantikkan rupa wajahnya, semakin kuranglah dia mencantikkan rumahnya
  • Kata-kata seperti ubat. Bermanfaat ketika sedikit dan membunuh jika berlebihan
  • Tidak perlu anda berkata semua yang anda tahu, tetapi anda perlu tahu apa yang anda ingin katakan
  • Isteri yang cantik ialah isteri yang menanam kecantikkannya di dalam hati suaminya
  • Bukan keaiban jika kamu terjatuh, tetapi keaiban ialah kegagalan kamu untuk bangkit
  • Hati mampu keluarkan suara yang menyatakan bahawa ada seseorang sedang memandang ke arahmu dengan mata hatinya
  • Salah satu dari cabaran yang hebat ialah kamu mampu ketawa dalam keadaan mata hatimu berkaca duka
  • Kebanyakan orang akan melupakan kesalahan mereka tetapi aku tidak akan melupakan sebab kesalahan itu berlaku
  • Pernah orang bertanya kepada saidina Ali: “kenapa berlaku banyak kekacauan di zaman pemerintahanmu, sedangkan kamu adalah dari ahli bait Sallallahu Alaihi Wa Sallam, yang terawal memeluk islam, yang menerima pengiktirafan dari Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Tidak sebagaimana umar yang memerintah umat ini dengan aman dan terserlah keimanan umat itu menguasai.”lalu saidina Ali menjawab: “bagaimanakah mampu akan lakukan sebagaimana umar. Kerana rakyat umar adalah aku dan rakyatku pula adalah engkau.”
  • Kata seorang ilmuan setelah pulang dari pengajiannya di luar Negara: “wahai kaumku, janganlah engkau terlalu mendahului aku dengan meminta kepada berfatwa, tetapi dahuluilah kepadaku sokongan untuk kulakukan kebaikan dalam kehidupan kita, menyekat keburukan dan melakukan perubahan”
  • Meninggalkan maksiat adalah jihad dan usaha berterusan membendungnya adalah pertarungan
  • Isteri cerdik dan solehah mampu mengubah padang pasir kepada taman buahan indah
  • “Kita memerlukan pemuda yang soleh dan pemudi yang beriman untuk membina institusi keluarga bahagia”(muqawwimaat saadatuzzawaj)
  • “Ketiadaan diri peribadi Rasulullah SAW tidak boleh dijadikan jawapan di atas kegagalan dakwah di zaman ini”(syed qutb)