Friday, 15 July 2011

Gaya Hidup Sihat Perlu Keseimbangan Rohani dan Jasmani

Masyarakat negara kita sering terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan yang kronik dan akhirnya mengundang kepada kematian. Ia adalah kesan daripada amalan gaya hidup yang tidak sihat dan ketidakseimbangan kesihatan rohani dan jasmani dalam kitaran hidup seharian. Kementerian Kesihatan kerap kali mengadakan kempen kesihatan untuk memberi kesedaran kepada awam tentang penjagaan kesihatan yang perlu dipupuk dalam budaya hidup kita malah perlu disemai sejak awal lagi agar kita tidak tergolong dalam kalangan yang mempunyai masalah kesihatan. Namun, adakah kempen gaya hidup sihat, "Tak Nak Merokok", makanan berkhasiat dan kempen kecerdasan mampu mengubah pandangan masyarakat kita tentang peri pentingnya menjaga kesihatan sekaligus mengamalkan gaya hidup yang sihat? Mungkin ada sesetengah golongan menyedari akan hakikat ini dan ada juga segelintirnya yang menganggap kesihatan hanya perlu dijaga apabila sudah berusia ataupun ada sesetengah golongan merasakan usia muda menjadi tiket untuk mereka terus kekal sihat. Bagi golongan ini, apakah jaminan mereka? Usahkan menunggu sehingga umur tua, sedangkan yang masih kecil lagipun sudah mengidap pelbagai penyakit. Usia bukan jaminan untuk kita terus kekal sihat, tetapi usia boleh dijadikan satu pemangkin untuk kita menjaga kesihatan agar boleh menjalani hidup yang bermakna pada masa hadapan.
Kesihatan merupakan suatu kekayaan. Walau sehebat manapun seseorang individu, sihat masih lagi menjadi agenda utama yang perlu dikekalkan. Secara umumnya, umur 40 tahun adalah tempoh yang paling ketara pelbagai penyakit dikesan tetapi jika kita menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan sejak dari awal lagi, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil dan merupakan satu cara yang terbaik daripada kita mengubatinya. Peningkatan utama masalah kesihatan masyarakat di negara kita adalah kerana gaya hidup yang tidak sihat dan seimbang termasuklah kurangnya kesedaran dalam menjaga keseimbangan dan kesederhanaan dalam hidup. Gaya hidup yang berlebihan ini akan mengakibatkan tekanan dan akhirnya memberi kesan timbulnya pelbagai penyakit. Ruang lingkup keseimbangan rohani, jasmani, akli, dan sosial perlu dirangkumkan agar ia dapat diterjemahkan sebagai gaya hidup yang sihat. Oleh itu, penjagaan kesihatan secara menyeluruh perlu dilaksanakan bagi setiap individu agar dapat meneruskan amanah dan tanggungjawab masing- masing secara harmoni. Kesihatan jasmani boleh dikekalkan melalui pengambilan makanan yang sihat dan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal seperti senaman. Kita juga perlu menjauhkan diri daripada tabiat merokok yang boleh merosakkan kesihatan. Kesihatan jasmani yang baik juga akan memberi kesan kepada kesihatan rohani yang mantap. Makanan yang halal dan baik mampu melahirkan insan yang berkualiti dari aspek rohani dan jasmani. Kesihatan mental yang baik pula mempamerkan bahawa seseorang itu mampu mengawal tekanan hidup yang dihadapi secara bijaksana dan bebas daripada gangguan mental yang boleh mengubah keupayaan seseorang individu. Manakala kesihatan sosial ialah, individu mampu menambah atau mengekalkan jaringan hubungan antara masyarakat yang akhirnya dapat mengekalkan kesihatan diri sendiri mahupun masyarakat umumnya. Gabungjalin antara kesemua unsur itu perlu diamalkan bagi setiap individu dalam suasana hari ini agar tidak mengundang pelbagai penyakit moden yang kini kian menular dalam masyarakat kita.
Hasil kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan tahun 2006 mendapati bahawa amalan gaya hidup masyarakat di negara ini menyebabkan banyak masalah kesihatan yang kronik. Apabila masyarakat terdedah dengan faktor risiko yang lebih menjurus kepada amalan gaya hidup akan mengundang kepada penyakit berbahaya seperti jantung, kencing manis, angin ahmar, kanser, darah tinggi, kegagalan buah pinggang, kerosakan paru- paru dan penyakit tulang. Antara ciri yang boleh mendatangkan risiko penyakit berbahaya yang tidak berjangkit adalah gaya pemakanan yang tidak sihat di mana didapati seramai 8.7 juta (7.8 peratus) daripada masyarakat kita tidak memakan sayur- sayuran dan buah- buahan. Manakala sebanyak 7.2 juta (60.1 peratus) rakyat tidak menjalankan aktiviti fizikal yang sepatutnya. Dan juga ciri gaya hidup yang lain seperti merokok, minum arak, kegemukan, buncit juga mendatangkan risiko kesihatan. Jika diteliti hasil kajian ini, menunjukkan bahawa pemakanan secara seimbang dan aktiviti fizikal tidak dititikberatkan dalam gaya hidup masyarakat Malaysia. Sebab itulah pesakit kanser, jantung, diabetes dan darah tinggi adalah antara golongan yang paling banyak menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun 2006 (Kementerian Kesihatan) di mana penyakit tersebut adalah penyakit yang disebabkan oleh faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Oleh itu, kita seharusnya melihat bahawa arus penyakit pada hari ini lebih menjurus kepada unsur pemakanan dan gaya hidup walaupun mungkin terdapat juga faktor persekitaran dan lahiriah yang menyumbang kepada masalah penyakit tersebut. Sepatutnya, kita perlu ada kesedaran di dalam diri untuk menggiatkan lagi penjagaan kesihatan walaupun di usia muda kerana pengabaian kesihatan menyebabkan kita seolah- olah menyimpan bom yang akan meletup bila- bila masa sahaja apabila sampai kepada tahap kronik. Oleh itu, seharusnya kita berwaspada.
Masalah kesihatan di dunia kini mengalami revolusi di mana jika dahulu kebanyakan masyarakat mengalami masalah kekurangan zat galian dan vitamin tetapi hakikat hari ini telah berubah di mana masyarakat mengalami masalah kesihatan disebabkan terlebih makan dan seterusnya berlanjutan kepada masalah lebihan kolesterol, lebihan gula dan kegemukan. Penyakit yang wujud dalam masyarakat sekarang adalah kerana manusia tidak mengikut peraturan yang telah disusun oleh Allah SWT dan mengikut Sunnah yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ia berlaku akibat kelalaian dan kealpaan manusia itu sendiri kerana tidak menjaga keseimbangan dalam hidup. Keseimbangan adalah penting untuk kita mengekalkan kesihatan yang optimum. Namun, disebabkan kegagalan inilah menyebabkan mereka mendapat pelbagai penyakit. Sepertimana yang termaktub dalam surah ar- Ruum ayat 41 di mana Allah mengingatkan kita bahawa kerosakan di muka bumi ini adalah akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab dan merasakan akibat daripada perbuatan tersebut.
Nyata hari ini, masyarakat kurang menyayangi diri mereka dengan tidak mengamalkan pemakanan halal dan sihat, gaya hidup yang tidak sihat, terdedah kepada tekanan yang juga menjadi akar umbi kepada masalah kesihatan dan juga tidak menitikberatkan soal kesihatan rohani. Agama Islam melarang manusia mementingkan diri sendiri tetapi kita bertanggungjawab untuk menjaga diri dan seharusnya ia dijadikan penggerak untuk memperbaiki mutu kesihatan diri kita. Oleh itu, sudah sampai masanya masyarakat muhasabah kembali kesilapan dan memperbetulkannya serta perlu menjadikan kesihatan sebagai satu amalan penting dalam hidup tidak kira semua lapisan umur. Gaya hidup yang sihat memerlukan kita menjaga keseimbangan antara rohani dan jasmani bagi mengelakkan pelbagai serangan penyakit moden kini dan seterusnya kita boleh meneruskan kehidupan ini dengan kekal sihat dan teratur.

No comments:

Post a Comment